14 Oktober 2025

Binaan Ayat

Bab Sintaksis
  • Ayat
    • Binaan Ayat

Ayat boleh terdiri dari sekurang-kurangnya satu perkataan selagi perkataan tersebut membawa makna dalam komunikasi.

Namun ayat yang lengkap terbina dari unsur subjek dan predikat.

Subjek adalah perkara yang hendak diceritakan (diterangkan) manakala predikat pula ialah cerita (keterangan) tentang subjek tadi.

Subjek
  • Pokok perbincangan
  • Perkara yang hendak diceritakan
  • Unsur yang diterangkan
Predikat
  • Cerita tentang Subjek
  • Keterangan atau penjelasan tentang Subjek
  • Menerangkan tentang Subjek
  • Memberi makna keseluruhan kepada ayat

Contoh:

AyatSubjekPredikat
Ayat 1Alisedang berlari
Ayat 2Pak Abumemanjat pokok
Ayat 3Kereta merah itumelanggar kerbau

Dalam Ayat 1, perkara yang ingin diceritakan (subjek) ialah tentang Ali. Cerita tentang Ali (predikat) ialah dia sedang berlari.

Dalam Ayat 2, perkara yang ingin diceritakan (subjek) ialah tentang Pak Abu. Keterangan tentang Pak Abu (predikat) ialah Pak Abu memanjat pokok.

Dalam Ayat 3, perkara yang ingin diceritakan (subjek) ialah tentang kereta merah. Kenapa dengan kereta mewah (predikat)? Kereta merah telah melanggar kerbau.

Subjek tanpa predikat tidak membina ayat. Predikat tanpa subjek juga tidak membina ayat.

Ayat
SubjekPredikat
Jururawat tadisungguh garang

  • Frasa 'Jururawat tadi' iaitu subjek, bukan ayat kerana frasa itu tergantung dan tiada membawa apa-apa makna.

  • Frasa 'sungguh garang' iaitu predikat kekal sebagai frasa kerana tidak membawa apa-apa makna.

  • 'Jururawat tadi (subjek) sungguh garang' (predikat) adalah ayat yang lengkap kerana ia betul dari segi tatabahasa dan sudah mempunyai makna.

Kesimpulan

Ayat dasar yang lengkap dibina dari subjek (perkara yang diceritakan) dan predikat (perkara yang menceritakan). Struktur ini membawa kepada pembinaan ayat lain yang lebih kompleks.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan