Ada tiga jenis bahasa yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi iaitu bahasa lisan (perbualan, pertuturan, ujaran), bahasa tulisan (persuratan), dan bahasa isyarat. Aspek intonasi hanya diaplikasikan dalam bahasa lisan.
Apakah intonasi? Intonasi ialah nada suara yang turun naik atau tinggi rendah semasa berkata-kata (bercakap atau berkomunikasi).
Tujuan intonasi adalah untuk menambahkan keberkesanan perbualan. Penggunaan intonasi yang bersesuaian boleh membantu si penutur untuk memberikan gambaran berkesan tentang penegasan, kebimbangan, ketakutan, atau ketidaktahuan.
Tanpa kita sedari, aspek intonasi paling banyak kita gunakan semasa kita bertanyakan sesuatu.
Ujaran atau tutur kata tanpa intonasi akan menghasilkan nada yang mendatar dan tidak menarik.
Intonasi ini hendaklah berdasarkan jenis dan bentuk ayat atau kalimat dalam bahasa Melayu, sama ada ayat penyata biasa, ayat tanya, ayat perintah, dan yang seumpamanya.
Empat tingkat nada intonasi
Intonasi bahasa Melayu dapat dikenali dan digayakan dengan empat tingkat nada yang biasa ditandai dengan angka 1, 2, 3 dan 4.
Nada 1 menggambarkan nada yang paling rendah
Nada 4 menandai nada yang paling tinggi
Nada 2 memulakan ujaran
Nada 3 merupakan nada tekanan
Fungsi intonasi dalam bahasa Melayu
Ada beberapa fungsi intonasi. Antaranya:
- Fungsi emosional:
Untuk menyatakan pelbagai makna sikap, seperti kegembiraan, kebosanan, kemarahan, kekejutan, keakraban, kekecualian, ketakutan dan ratusan sikap yang lain. - Fungsi gramatis:
Untuk menandakan kontras dari segi tatabahasa terhadap sesuatu ujaran, sama ada sesebuah klausa atau ayat itu berupa pertanyaan atau pernyataan, positif atau negatif dan seumpamanya. - Fungsi struktur informasi:
Untuk memberikan sesuatu yang baru berbanding dengan yang telah dimaklumi dalam makna sesebuah ujaran iaitu dengan menekankan kata yang membawa makna tersebut. - Fungsi tekstual:
Untuk membentuk nada dan gaya suara yang turun naik bagi wacana yang lebih luas seperti pembacaan teks berita yang membezakan satu berita dengan berita yang lain. - Fungsi psikologi:
Untuk membantu menggubah bahasa menjadi unit-unit ujaran yang mudah dilihat dan diingat, seperti belajar urutan nombor yang panjang atau ungkapan dalam ucapan. - Fungsi ‘indexical’:
Untuk menandai identiti seseorang, iaitu membantu mengenali seseorang sama ada tergolong dalam kumpulan sosial atau pekerjaan yang berbeza, seperti khatib, penjual ubat atau sarjan tentera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan