07 November 2025

Maklumat Kursus

MAKLUMAT KURSUS

1Nama Kursus Bahasa Kebangsaan 'A'
2Kod Kursus MPU2213 (Diploma), MPU1123 (Sijil)
3Tenaga Pengajar:
4Semester Pengajian: Semester 1, 2 dan 3
5Nilai Kredit: 3
6Minggu Belajar:14
7Prakelayakan: Tidak mendapat pangkat kepujian (kredit) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia peperiksaan SPM
8Kaedah & Jenis PenilaianKaedah%
Formatif (60%)Kuiz20%
Ujian Lisan10%
Pembentangan15%
Kerja Kursus15%
Sumatif (40%)Peperiksaan Akhir40%
Jumlah100%
9Sinopsis:
Kursus bahasa ini menekankan aspek kemahiran berbahasa Melayu yang betul, tepat dan berkesan melalui kemahiran menulis, membaca dan bertutur. Pelajar juga didedahkan kepada aspek-aspek nahu bahasa Melayu dan sejarah perkembangannya.
10Kaedah Penyampaian:
  1. Kuliah dan Tutorial
  2. Pembelajaran Aktif - Kesepakatan & Kerjasama
  3. Pembelajaran Aktif - Pembentangan
11Objektif KursusUntuk membolehkan pelajar:
  1. Memahami dasar Bahasa (C1)
  2. Mengaplikasi pengetahuan dalam Bahasa Melayu dalam bentuk pembacaan, penulisan serta percakapan (C3)
12Sumber Rujukan
  1. Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa, Abdul Hamid Mahmood, Tatabahasa Dewan (Edisi Ketiga), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, 2015
  2. Ab. Rahman Ab. Rashid & Yap Kim Fat, Bahasa Kebangsaan, Siri Pendidikan Tinggi, Petaling Jaya: Longman, 1999
  3. Adenan Ayob, Bangsa Kebangsaan, Oxford Fajar, 2009
  4. Kamus Dewan, Edisi Keempat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, 2009

Tajuk-tajuk kuliah:

  1. Dasar bahasa di Malaysia
  2. Peranan Bahasa Melayu
  3. Kedudukan dan taraf Bahasa Melayu
  4. Sebutan baku Bahasa Melayu
    • Prinsip sebutan baku
    • Intonasi dalam bahasa Melayu
    • Sistem ejaan dan peristilahan
  5. Morfologi Bahasa Melayu
    • Pengenalan kepada morfologi
    • Proses pembentukan kata Bahasa Melayu
  6. Morfologi: Bentuk kata
    • Kata Tunggal
    • Kata Terbitan
    • Kata Majmuk
    • Kata Ganda
  7. Morfologi: Golongan Kata
    • Kata Nama
    • Kata Kerja
    • Kata Adjektif
    • Kata Tugas
  8. Sintaksis
    • Binaan Ayat
    • Pola ayat dasar
    • Binaan Frasa dan Klausa
    • Jenis Ayat
    • Ragam Ayat
    • Susunan dalam ayat
  9. Dinamika dan Apresiasi Bahasa
    • Ragam bahasa
    • Laras bahasa
    • Retorik
    • Kesantunan bahasa
    • Gaya bahasa (perkataan)
    • Gaya bahasa (ungkapan)
      • Cogan Kata
      • Kata-kata Hikmat
      • Peribahasa
  10. Komunikasi di Khalayak Ramai
    • Temu duga
    • Ucapan
    • Syarahan
    • Pidato
  11. Aspek penulisan
    • Karangan umum
    • Surat rasmi
    • Minit mesyuarat
    • Laporan

Bentuk Ayat

Bab Sintaksis
  • Ayat
    • Bentuk Ayat:
      • Ayat Tunggal
      • Ayat Majmuk

  • Ada dua bentuk ayat iaitu ayat tunggal dan ayat majmuk.

  • Ayat Tunggal ialah ayat yang mempunyai hanya satu klausa atau hanya satu cerita.

  • Ayat Majmuk pula ialah ayat yang mempunyai lebih dari satu klausa. Ayat majmuk adalah gabungan dua ayat. Ayat-ayat tersebut digabungkan dengan menggunakan kata hubung (seperti manakala, tetapi, namun, walhal, ketimbang).

Ayat Tunggal

  • Ayat Dasar merupakan ayat tunggal.

  • Dibina dengan satu subjek dan satu predikat sahaja.

  • Ini bermakna ayat tunggal terdiri dari satu klausa (ayat kecil) sahaja.

  • Ayat tunggal boleh berkembang menjadi ayat-ayat yang lain. Selepas berkembang menjadi ayat-ayat yang lain, ayat tunggal tidak lagi menjadi ayat tungal tetapi telah menjadi ayat majmuk.

  • Contoh:

    Klausa
    Subjek Predikat
    Aminahmakan nasi
    Emaksedang menjahit
    Pak Abumemanjat pokok
    Kawan sayamembasuh kereta

Ayat Majmuk

  • Ayat Majmuk terbentuk apabila dua atau lebih ayat tunggal bergabung menjadi satu ayat.

  • Dalam erti kata lain, Ayat majmuk menggabungkan dua cerita (dua klausa) menjadi satu cerita dalam satu ayat.

  • Ada dua jenis ayat majmuk iaitu:

    • Ayat Majmuk Gabungan
    • Ayat Majmuk Pancangan

Ayat Majmuk Gabungan

  • Dua atau lebih ayat tunggal digabungkan menjadi satu ayat dengan menggunakan kata hubung (seperti tetapi, atau, lalu, kemudian dan lain-lain yang bersesuaian dengan konteks ayat).

  • Lihat contoh dua ayat tunggal di bawah:

  • Ayat Tunggal 1Ayat Tunggal 2
    Saya membaca bukuKakak memasak di dapur
  • Dua ayat tunggal di atas bergabung menjadi satu ayat majmuk seperti di bawah:

  • Ayat Majmuk Gabungan
    Saya membaca buku manakala kakak memasak di dapur
  • Gabungan dua ayat tunggal di atas menggunakan kata hubung manakala.

Ayat Majmuk Pancangan

  • Ayat Majmuk Pancangan mempunyai satu ayat induk yang disertai dengan satu atau lebih ayat kecil (klausa pancangan). Ayat kecil ini yang bergantung kepada ayat induk.

  • Ayat Tunggal 1Ayat Tunggal 2
    Saya membeli bajuBaju itu berwarna biru
  • Dua ayat tunggal di atas bergabung menjadi satu ayat majmuk pancangan seperti di bawah:

  • Ayat Majmuk Pancangan
    Saya membeli baju berwarna biru
  • Kata hubung tidak diperlukan.

  • Ayat 'baju yang berwarn biru' itu tidak berdiri sendiri. Ini kerana ia adalah berkaitan (atau bergantung kepada) cerita baju yang dibeli oleh saya tadi.

04 November 2025

Ayat

  1. Ayat ialah satu atau serangkai perkataan yang disusun ke dalam satu gabungan kata atau kata-kata untuk menghasilkan sesuatu maksud yang bermakna. Dalam erti kata lain, ayat membawa makna. Susunan kata-kata yang tidak membawa makna dianggap bukan ayat.

  2. Ayat tidak bermakna jika tidak mempunyai makna. Ini kerana, fungsi asas ayat adalah untuk menyampaikan suatu maksud atau mesej.

  3. Ayat adalah nama yang digunakan dalam dunia penulisan. Dalam dunia lisan, ayat disebut sebagai ujaran atau percakapan. Ayat boleh dituturkan (bahasa pertuturan) atau ditulis (bahasa persuratan).

  4. Satu perkataan sudah boleh membentuk ayat. Namun ayat yang lebih kerap digunakan terdiri daripada rangkaian perkataan.

  5. Ayat dalam bentuk tulisan perlu mempunyai nokhtah untuk menandakan penamat ayat. Dalam wacana, elipsis (...) turut dibunakan untuk menandakan penamat ayat.

  6. Ayat pertuturan pula (atau dalam bentuk ujaran lisan) bermula dengan kesenyapan dan berakhir dengan kesenyapan juga. Ayat lisan yang baik memerlukan intonasi (naik turun nada) supaya si pendengar boleh memahami maksud lisan tersebut dengan lebih baik.

  7. Dalam tatabahasa, ayat adalah unit pengucapan tertinggi (paling atas) yang tersusun dan mempunyai makna.

Ayat Dasar (atau Ayat Inti)

  • Ayat Dasar ialah bentuk ayat yang paling asas atau yang paling mudah.

  • Daripada kedudukan yang asas ini, ayat dasar boleh dikembangkan menjadi ayat-ayat yang lain melalui proses tatabahasa tertentu.

  • Ayat Dasar hanya terdiri dari satu subjek dan satu predikat.

  • Ayat dasar terbina hanya secara tunggal.

  • Sebagai rumusan: Ayat Dasar (atau Ayat Inti) ialah ayat yang paling mudah dengan hanya mempunyai satu subjek dan satu predikat dan merupakan ayat tunggal.

Binaan Ayat Dasar

  • Binaan ayat dasar terdiri dari subjek dan predikat sahaja.

  • Subjek ialah perkara yang hendak diceritakan (diterangkan) manakala predikat pula ialah cerita (keterangan) tentang perkara tadi.

  • Contoh ayat dasar dengan hanya satu subjek dan predikat ialah: "Wanita itu [subjek] ibu saya [predikat]." 'Wanita itu' adalah subjek iaitu perkara yang hendak diterangkan, manakala 'ibu saya' adalah predikat iaitu keterangan tentang subjek tadi.

  • Contoh lain ialah: "Saya [subjek] kacak [pedikat]."

Bentuk Ayat

  • Ayat yang dibina dari gabungan Subjek dan predikat tadi boleh berada (atau terbentuk) dalam bentuk tunggal (ayat tunggal) atau majmuk (ayat majmuk).

  • Ayat Tunggal terbina hanya dari satu subjek dan satu predikat. Ini juga bermakna Ayat Tunggal hanya terbina dari satu klausa sahaja.
  • Ayat Majmuk pula terbentuk daripada dua ayat tunggal yang digabungkan dengan kata sendi (atau kata hubung).

Susunan Ayat

  • Susunan ayat terbahagi dua iaitu susunan biasa dan susunan songsang.

  • Dalam ayat susunan biasa, subjek mendahului predikat. Ini adalah susunan ayat dasar.

  • Dalam ayat songsang, susunan subjek dan predikat sudah terbalik (atau songsang) iaitu predikat diletakkan mendahului subjek.

  • Inilah yang dimaksudkan sebagai proses pendepanan, iaitu predikat yang sepatutnya berada di belakang telah diletakkan di bahagian hadapan.

  • Proses pendepanan ini memerlukan partikel (-lah, -kah, -tah, -nya).

  • Contoh ayat susunan biasa: "Lelaki itu [subjek] bapa saya [predikat]."

  • Contoh ayat susunan songsang: "Bapa sayalah [predikat] lelaki itu [subjek]."

Jenis-jenis Ayat

  • Ada empat jenis ayat iaitu Ayat Penyata, Ayat Tanya, Ayat Perintah, dan Ayat Seruan.

Pola Ayat Dasar

  • Ayat dasar terbina dari gabungan frasa-frasa tertentu seperti Frasa Nama (FN), Frasa Kerja(FK), Frasa Adjektif (FA) dan Frasa Sendi Nama (FS).
  • Ada empat pola ayat dasar iaitu Frasa Nama (FN) + Frasa Nama (FN), Frasa Nama (FN) + Frasa Kerja (FK), Frasa Nama (FN) + Frasa Adjektif(FA), dan akhir sekali Fasa Nama(FN) + Frasa Sendi Nama (FS).

Ragam Ayat

  • Ada dua jenis ragam ayat iaitu Ayat Aktif dan Ayat Pasif.

  • Ayat aktif ialah apabila subjek didahulukan sebelum predikat, manakala dalam ayat pasif pula, kedudukannya adalah terbalik iaitu predikat yang didahulukan sebelum subjek.

15 Oktober 2025

Dasar Bahasa di Malaysia

Dasar Bahasa Kebangsaan mula diperkenalkan secara berperingkat pada awal 1970-an seiring dengan Rancangan Malaysia Kedua, dengan usaha menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama di semua peringkat pendidikan menjelang tahun 1983.

Matlamat utama dasar ini adalah memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi kerajaan, dan bahasa pengantar pendidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan penting dalam memperkasakan bahasa Melayu melalui pembakuan istilah, pengembangan sastera, dan penganjuran program kesedaran seperti Bulan Bahasa Kebangsaan dan Dekad Bahasa Kebangsaan 2020-2030 yang menekankan pemerkasaan bahasa Melayu dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.

Melalui peruntukan ini, bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua maksud rasmi. Maksud 'rasmi' tersebut ditakrifkan oleh Perkara 152 sebagai “apa-apa jua maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau kerajaan Negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”.

Dasar Bahasa Kebangsaan di Malaysia dilaksanakan dengan berasaskan undang-undang negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152) dan Akta Bahasa Kebangsaan. Akta Pendidikan (mulanya Akta Pelajaran 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996) pula berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Badan yang diberi amanah secara khusus merancang bahasa Melayu ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (nama asalnya ialah Balai Pustaka), dengan berdasarkan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (mulanya Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 dan kemudian Akta Dewan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, Pindaan dan Peluasan 1995).

Sejarah penentuan dasar bahasa

Dahulu Tanah Melayu yang bakal merdeka sebagai negara berbilang bangsa dan bahasa menghadapi masalah untuk menentukan bahasa apakah yang patut digunakan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kerajaan atau negara. Ini kerana kerajaan tempatan yang bakal ditubuhkan untuk mengambil pemerintahan dari British pada masa itu terdiri daripada gabungan tiga kaum utama iaitu Melayu (UMNO), Cina (MCA) dan India (MIC). Masalah yang timbul itu mempunyai kaitan dengan isu ideologi perkauman, perpaduan bangsa dan jati diri negara.

Diringkaskan cerita, Bahasa Melayu telah disepakati untuk dipilih sebagai bahasa yang akan menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara yang merdeka selepas tahun 1957, di samping mengangkat tarafnya menjadi bahasa kebangsaan yang kemudiannya diharap akan terus berfungsi sebagai bahasa komunikasi luas dalam masyarakat pelbagai kaum dan bahasa yang wujud di Tanah Melayu pada masa itu.

Akhirnya termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa 'Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu'.

Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara tercapai hasil dari kompromi pemimpin pelbagai parti pada masa itu yang bersetuju menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Persetujuan yang dicapai tersebut adalah bersandarkan kepada beberapa faktor:

  1. Memang terdapat banyak kaum pada masa itu namun Bahasa Melayu diakui sebagai bahasa yang paling banyak dipertuturkan oleh penduduk Tanah Melayu pada masa itu.

  2. Malah, bahasa Melayu telah menjadi bahasa ‘lingua-franca’ (perantaraan) sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi.

  3. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa penduduk asal Tanah Melayu sebelum kedatangan masyarakat Cina dari Tanah Besar China dan kaum India dari selatan India.

  4. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang paling sesuai dijadikan identiti Tanah Malayu yang bakal merdeka pada masa itu memandangkan bahawa Tanah Melayu pada masa itu ialah tanah air orang Melayu.

Sejauhmanakah dasar bahasa berjaya dilaksanakan di Malaysia?

Walaupun kedudukan bahasa kebangsaan adalah jelas dan termaktub dalam perlembagaan, namun kedudukannya di kalangan masyarakat Malaysia masih tidak begitu memberangsangkan. Ini kerana dasar bahasa kebangsaan tidak begitu dihayati dan diamalkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan ini:

  1. Semangat dan kesungguhan yang belum cukup mantap dalam penggunaan bahasa Melayu. Sebagai buktinya, bahasa Melayu kehilangan tempat dan peranan dalam majlis-majlis rasmi. Dalam majlis-majlis rasmi, bahasa Inggeris masih diutamakan.
  2. Penggunaan bahasa Melayu yang rendah mutunya. Pengguna bahasa Melayu secara umumnya tidak mempedulikan mutu bahasa Melayu itu sendiri. Aspek mesej yang hendak disampaikan lebih dipentingkan daripada aspek tatabahasa (cara penyampaian). Apabila aspek mesej yang lebih diutamakan, penggunaan tatabahasa dan hukum bahasa akan diabaikan.
  3. Bahasa Melayu juga dianggap kurang mampu menjadi bahasa pengantar ilmu. Ini kerana masih kurang bahan-bahan bacaan ilmiah dalam bahasa Melayu. Pelajar IPTA dan IPTS menggunakan bahan rujukan bahasa Inggeris untuk mendapatkan ilmu.
  4. Masalah kekurangan istilah dalam pelbagai bidang, atau istilah yang kerap berubah. Masalah ini dihadapi oleh para pendidik dan pelajar. Kemuncak masalah ini ialah apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar untuk mengajar Matematik dan Sains di sekolah-sekolah.
  5. Bidang morfologi bahasa Melayu mempunyai beberapa sistem yang tidak konsisten. Misalnya terdapat pengecualian keselarasan vokal bila menggunakan istilah yang berasal dari luar. Terdapat banyak istilah yang sudah biasa digunakan tetapi sebenarnya adalah salah daripada segi morfologi. Contoh: mentua dan bukan mertua. Perkataan mertua adalah salah, namun digunakan dengan meluas, termasuk dijadikan tajuk filem lagenda P.Ramlee yang terkenal iaitu ‘Ibu Mertuaku’.

Antara lain-lain cabaran pelaksanaan dasar bahasa

  1. Media cetak dan media elektronik baharu yang cenderung bebas dari norma adab dan akhlak.
  2. Pelan Memperkasa Bahasa Kebangsaan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang masih longgar.
  3. Kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
  4. Pemilihan nama yang tidak bercitra kebangsaan bagi taman perumahan dan gedung perniagaan atau institusi.
  5. Slogan 'Bahasa Jiwa Bangsa' seolah-olah hanya terucap di bibir tetapi tidak terlihat pada realiti.
  6. Ada semacam ketirisan yang amat memilukan dalam kalangan penguatkuasa dan orang yang diberi amanah supaya citra negara iaitu bahasa kebangsaan dimartabatkan.
  7. Perkataan yang bercampur-aduk, istilah-istilah luar yang tidak menggambarkan resam tempatan, nama-nama taman dan bangunan yang asing bunyi dan maksudnya adalah perkara-perkara lazim terdapat seolah-olah dalam negara ini tidak ada peraturan dan undang-undang untuk mengawalnya.
  8. DBP semacam tidak dirujuk.
  9. Papan tanda dan iklan dibuat sesuka hati.
  10. Universiti Awam (UA) lembab dalam Pelan Memperkasa Bahasa Kebangsan di IPT lebih-lebih lagi di IPTS.
  11. Kedapatan pihak-pihak yang secara terang-terangan meremeh dan menghina bahasa kebangsaan. Konon mengguna bahasa kebangsaan dan meletakkan imej kemalaysiaan dalam nama bangunan dan institusi adalah ketinggalan zaman, tidak memikat pelancong dan tidak berwatak antarabangsa.
  12. Dalam kalangan sesetengah orang kita termasuk sebahagian orang Melayu sendiri berasa kerdil dengan penggunaan bahasa kebangsaan ini malah terikut-ikut dengan gelagat kelompok yang mementingkan pulangan komersil semata-mata.

Peranan Bahasa Melayu di Malaysia

Sebagai bahasa kebangsaan negara, bahasa Melayu sudah semestinya mempunyai peranan atau fungsi yang berguna dan bersifat kebangsaan. Antara fungsi bahasa Melayu adalah seperti berikut:

  1. Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan

    Bahasa kebangsaan adalah bahasa perantaraan seluruh penduduk Malaysia daripada pelbagai kaum. Sejak zaman Kesultanan Melaka lagi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaan. Dunia luar kini mengenali bahasa Melayu sebagai bahasa negara Malaysia. Bahasa Melayu adalah identiti negara kita.

    Kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan jelas termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Fasal (1) Perkara 152 dalam Perlembagaan.

    Persekutuan menyatakan bahawa: "Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang Parlimen."

  2. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi

    Bahasa Melayu digunakan dalam situasi rasmi seperti dalam urusan mahkamah, pentadbiran, pendidikan, perdagangan dan sebagainya. Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

  3. Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan

    Bahasa Melayu digunakan oleh kaum-kaum bukan Melayu untuk berkomukinasi sesama mereka. Misalnya, orang India dengan orang Cina menggunakan bahasa Melayu untuk bersembang sesame mereka. Bahasa Melayu menjadi bahasa yang menyatupadukan rakyat pelbagai kaum. Fungsi simbolik sesuatu bahasa bahasa standard ialah fungsi penyatuan. Tanpa komunikasi yang baik, ketegangan kaum akan berlaku. Melalui penggunaan bahasa Melayu, komukinasi antara kaum akan berjalan lancar dan masalah ketegangan kaum boleh dihindari.

  4. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa ilmiah

    Bahasa ilmu bermakna bahasa yang mampu menjadi perantaraan bagi penyampaian ilmu pengetahuan hingga ke peringkat tinggi. Bahasa ilmiah ialah bahasa yang bersifat ilmu secara pengetahuan, keilmuan dan akademik. Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa penyampaian pelbagai bidang ilmu sama ada sejarah, matematik, perundangan, kedoktoran dan sebagainya.

Kedudukan dan Taraf Bahasa Melayu

Bahasa Melayu juga disebut Bahasa Malaysia atau Bahasa Kebangsaan. Kedudukan dan taraf bahasa Melayu di Malaysia kini boleh dilihat pada tiga tempat iaitu dalam Perlembagaan Persekutuan, dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan, dan dalam Akta Bahasa.

1. Kedudukan bahasa Melayu dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan

Menurut Perkara 152 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan, bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan bahasa ini hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang parlimen. Namun bahasa lain tidak ditegah untuk digunakan. Peruntukan ini jelas menunjukkan yang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mempunyai kedudukan yang jelas dan mantap sebagai bahasa rasmi negara.

2. Kedudukan bahasa Melayu dalam Akta Bahasa Kebangsaan

Akta Bahasa Kebangsaan 1963 menambah (Tambahan No. 18) peruntukan ‘maksud rasmi, terjemahan, perlanjutan penggunaan bahasa Inggeris, teks sahih undang-undang, bahasa mahkamah, tulisan bahasa kebangsaan, bentuk angka dan barang’. Akta Bahasa Kebangsaan 1967 pula membuat beberapa tambahan tentang kedudukan bahasa Melayu (Tambahan No. 57). Antara lain, bahasa kebangsaan (iaitu bahasa Melayu) mestilah digunakan bagi maksud-maksud rasmi kecuali dalam kes tertentu seperti undang-undang.

3. Kedudukan bahasa Melayu dalam Akta Pendidikan

Akta Pendidikan 1961 menegaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Akta Pendidikan 1996 menggantikan Akta Pendidikan 1961. Melalui akta ini, bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan kecuali di sekolah jenis kebangsaan.

Kesimpulan

Bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang sangat penting di Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Peruntukan perundangan ini membolehkan Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan dan merupakan alat penyatuan serta lambang jati diri rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Sebutan Baku dalam Bahasa Melayu

Baku bermakna standard atau seragam atau piawai. Sesuatu yang baku juga bermakna sesuatu yang telah diterima sebagai yang betul atau yang sewajarnya.

Sebutan Baku

Sebutan baku ialah sebutan fonemik yang bermaksud sebutan berdasarkan ejaan. Bagaimana ia dieja, begitulah cara ia disebut.

Perancangan pembakuan sebutan bahasa Melayu telah menjadi salah satu objektif Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.

Matlamat pembakuan sebutan bahasa Melayu adalah untuk menyeragamkan cara penyebutannya. K.L Pike dalam bukunya Phonemics (1943:57) menyebutkan bahawa "Kata-kata dieja sebagaimana diucapkan dan diucapkan sebagaimana dieja, dan tidak ada huruf yang senyap".

Menurut Awang Sariyan (1988:6), ahli-ahli bahasa telah bersependapat tentang dasar sebutan baku Bahasa Melayu iaitu sebutan bagi kata bahasa Melayu hendaklah berdasarkan sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan ejaan dan bukan berdasarkan kelaziman sebutan menurut dialek Riau-Johor. Ketetapan ini dicapai dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kali Ke-3 (1956).

Bahasa Baku

Bahasa baku pula ialah bahasa yang dianggap standard, yang mempunyai struktur yang lengkap dan sempurna dari segi sistem ejaan, tatabahasa, dan kosa kata, yang (sudah) diterima umum sebagai betul dan sah (bentuknya, sifatnya) dan dapat dijadikan asas perbandingan bagi bentuk yang lain (bukan bahasa, sebutan, ejaan, dan sebagainya).

Bahasa baku mempunyai keseragaman dalam empat sistem yang utama iaitu fonologi (kajian tentang bunyi sebutan dalam sesuatu bahasa), morfologi (kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa), sintaksis (susunan kata dalam ayat) dan semantik (kajian tentang makna perkataan dan penambahan makna sesuatu kata).

Pembakuan Bahasa

Pembakuan bahasa merujuk kepada usaha, tindakan, atau proses mengetengahkan bentuk bahasa yang benar dan yang dapat menjadi dasar ukuran. Perkara yang berkaitan dengan usaha, tindakan, atau proses tersebut ialah penetapan kod dan norma bahasa daripada segala segi, iaitu ejaan, peristilahan, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa (Prof Dr Awag Sariyan, Warna dan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia, 2006)

Pelaksanaan pembakuan bahasa Melayu di sektor pendidikan iaitu pada peringkat sekolah telah dimulakan pada penggal kedua persekolahan tahun 1988 lagi semasa Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pelajaran, iaitu selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang mengusulkan sebutan baku bahasa Melayu tingkatan satu.

Tujuan pembakuan bahasa Melayu

Tujuan pembakuan bahasa Melayu adalah seperti yang berikut:

  1. Untuk mewujudkan satu variasi sebutan baku dalam bahasa Melayu yang dapat digunakan dalam situasi formal atau situasi rasmi.

  2. Untuk meningkatkan kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan pengguna bahasa.

  3. Untuk memantapkan sistem dan struktur dalaman bahasa Melayu, supaya sistem sebutannya menjadi mantap dan baku sejajar dengan pemantapan dan pembakuan tatabahasa, kosa kata (perbendaharaan kata umum dan istilah), sistem ejaan, dan laras bahasa.

  4. Secara khusus, untuk menyeragamkan cara berbahasa dan bertutur serta mengurangkan penggunaan pelbagai variasi dan gaya sebutan serta menghindarkan penggunaan dialek setempat di dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah

Garis panduan dasar umum sebutan baku

Garis panduan dasar umum tentang sebutan baku bahasa Melayu adalah seperti berikut :

  • Sebutan Huruf: Pada umumnya, setiap huruf dalam ejaan Rumi atau Jawi perlulah dilafazkan dengan jelas mengikut nilai bunyi bahasa Melayu yang dilambangkan.

  • Sebutan Kata: Sebutan kata hendaklah berdasarkan ejaan secara keseluruhan dan juga berdasarkan bentuk kata (pola pada suku kata) sama ada kata dasar atau kata terbitan.

  • Intonasi: Intonasi ialah nada suara yang turun naik atau tinggi rendah sewaktu bercakap dan hendaklah berdasarkan jenis dan bentuk ayat atau kalimat dalam Bahasa Melayu serta keperihalan keadaan yang berkenaan.

Bunyi mengikut ejaan

Daripada 26 huruf rumi bahasa Melayu, lima daripadanya ialah huruf vokal atau huruf bunyi. Huruf-huruf inilah yang menentukan bunyi sesuatu sebutan dalam bahasa Melayu.

Huruf VokalContoh

a

ba-ba

e

le-su

Ä›

ke-lok

i

i-tik

o

o-tot

u

hu-lu
Huruf DiftongContoh

ai

san-tai dan bukan san-ta-i

oi

se-poi dan bukan se-po-i

oi

am-boi dan bukan am-bo-i

Contoh sebutan baku dan tidak baku

Berikut adalah contoh sebutan tidak baku yang menjadi sebutan kebiasaan rakyat Malaysia:

EjaanBunyi (sebutan) bakuBunyi tidak baku
Kitaki-taki-te
Sayasa-yasa-ye
Industriin-dus-triin-das-tri
PedagogipÄ›-da-go-gipÄ›-da-go-ji
Faktorfak-torfěk-ter
Unitu-nityu-nit
Uniku-nikyu-nik
Universitiu-ni-ver-si-tiyu-ni-ver-si-ti
Kampuskam-puskěm-pes

Pengecualian sebutan baku

Sebutan baku tidak digunapakai untuk beberapa keadaan iaitu:

Nama orang dibunyikan menurut kebiasaan orang yang empunya nama atau kebiasaan setempat atau kebiasaan antarabangsa. Contohnya:

EjaanSebutanBukan
James Bondjéms bÕndja-mes bon
Nelson MandelanẼl.sen man.dé.lanel-sen man-de-la
Lim Keng Yaiklim kéng yéklim keng ya-ik
Boutros Boutros-Ghalibut.ros but.ros gha.libo-u-tros bo-u-tros gha-li
Bjorn Borgbe-yon bogbe-jon bog
Sade (penyanyi)sha-deysa-dey

Nama tempat di Malaysia atau di luar Malaysia dilafazkan menurut kebiasaan sebutan setempat atau kebiasaan antarabangsa. Contohnya:

EjaanSebutanBukan
New Zealandni-u zi-lenni-u ze-ya-lan
Sunway Lagoonsan-wey la-gunsun-wai la-gon
Ajaxae-yeka-jak

Akronim yang terbentuk dari gabungan suku kata dalam bahasa Inggeris akan dikekalkan sebutannya dalam bunyi Inggeris. Contohnya:

EjaanSebutan
UNESCO[yu.nés.ko] atau (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization)
UMNO[am.no] atau (United Malays National Organization) (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu)

Akronim yang terbentuk dari gabungan huruf pangkal perkataan dilafazkan dengan dua cara, iaitu (i) cara sebutan singkatan menurut bunyi huruf Rumi, atau (ii) cara sebutan ungkapan atau nama yang penuh. Contohnya:

EjaanSebutan
DBP[di.bi.pi] atau (Dewan Bahasa dan Pustaka)
TLDM[ti.él.di.ém] atau (Tentera Laut Diraja Malaysia)
JKKK[jé.ké.ké.ké] atau (Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung)
RTM[ar.ti.ém] atau (Radio Televisyen Malaysia)
PLO[pi.él.o] atau (Palestinian Liberation Organization)(Pertubuhan Pembebasan Palestin)

Intonasi Dalam Bahasa Melayu

Ada tiga jenis bahasa yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi iaitu bahasa lisan (perbualan, pertuturan, ujaran), bahasa tulisan (persuratan), dan bahasa isyarat. Aspek intonasi hanya diaplikasikan dalam bahasa lisan.

Apakah intonasi? Intonasi ialah nada suara yang turun naik atau tinggi rendah semasa berkata-kata (bercakap atau berkomunikasi).

Tujuan intonasi adalah untuk menambahkan keberkesanan perbualan. Penggunaan intonasi yang bersesuaian boleh membantu si penutur untuk memberikan gambaran berkesan tentang penegasan, kebimbangan, ketakutan, atau ketidaktahuan.

Tanpa kita sedari, aspek intonasi paling banyak kita gunakan semasa kita bertanyakan sesuatu.

Ujaran atau tutur kata tanpa intonasi akan menghasilkan nada yang mendatar dan tidak menarik.

Intonasi ini hendaklah berdasarkan jenis dan bentuk ayat atau kalimat dalam bahasa Melayu, sama ada ayat penyata biasa, ayat tanya, ayat perintah, dan yang seumpamanya.

Empat tingkat nada intonasi

Intonasi bahasa Melayu dapat dikenali dan digayakan dengan empat tingkat nada yang biasa ditandai dengan angka 1, 2, 3 dan 4.

  • Nada 1 menggambarkan nada yang paling rendah

  • Nada 4 menandai nada yang paling tinggi

  • Nada 2 memulakan ujaran

  • Nada 3 merupakan nada tekanan

Fungsi intonasi dalam bahasa Melayu

Ada beberapa fungsi intonasi. Antaranya:

  1. Fungsi emosional:
    Untuk menyatakan pelbagai makna sikap, seperti kegembiraan, kebosanan, kemarahan, kekejutan, keakraban, kekecualian, ketakutan dan ratusan sikap yang lain.

  2. Fungsi gramatis:
    Untuk menandakan kontras dari segi tatabahasa terhadap sesuatu ujaran, sama ada sesebuah klausa atau ayat itu berupa pertanyaan atau pernyataan, positif atau negatif dan seumpamanya.

  3. Fungsi struktur informasi:
    Untuk memberikan sesuatu yang baru berbanding dengan yang telah dimaklumi dalam makna sesebuah ujaran iaitu dengan menekankan kata yang membawa makna tersebut.

  4. Fungsi tekstual:
    Untuk membentuk nada dan gaya suara yang turun naik bagi wacana yang lebih luas seperti pembacaan teks berita yang membezakan satu berita dengan berita yang lain.

  5. Fungsi psikologi:
    Untuk membantu menggubah bahasa menjadi unit-unit ujaran yang mudah dilihat dan diingat, seperti belajar urutan nombor yang panjang atau ungkapan dalam ucapan.

  6. Fungsi ‘indexical’:
    Untuk menandai identiti seseorang, iaitu membantu mengenali seseorang sama ada tergolong dalam kumpulan sosial atau pekerjaan yang berbeza, seperti khatib, penjual ubat atau sarjan tentera.

Huruf dalam bahasa Melayu

Terdapat 26 huruf rumi dalam bahasa Melayu yang boleh dibahagikan kepada empat jenis huruf iaitu huruf vokal, huruf konsonan, huruf diftong, dan huruf gugus konsonan. Sila lihat contoh di bawah:

Jenis Huruf
Huruf vokala, e, i, o, u
Huruf konsonanHuruf-huruf lain selain dari huruf vokal
Huruf diftongai, au, oi
Huruf gugus konsonangh, kh, ny, ng, sy

Huruf vokal

Huruf vokal juga disebut ‘huruf hidup’ atau ‘huruf saksi’ kerana mempunyai bunyi dan boleh juga memberi bunyi kepada huruf konsonan.

Sila lihat contoh di bawah ini:

Huruf
Vokal
FonemKedudukan huruf vokal
dalam perkataan
depan katatengah katabelakang kata

a

/a/apibapakita

e

(pepet)
/É™/emaksemakautisme

Ä›

(taling)
/e/enakpetaktauge

i

/i/itusinikini

o

/o/olehkotapidato

u

/u/usiktunassiku


Konsonan

Huruf konsonan ialah huruf selain dari huruf vokal. Ada 21 huruf konsonan dalam huruf bahasa Melayu.

Lihat grafik di atas. Huruf vokal ialah huruf dalam warna biru manakala huruf konsonan ialah huruf dalam warna merah jambu.

Sila lihat contoh penggunaan huruf konsonan di bawah:

KonsonanFonemdi depandi tengahdi belakang

b

/b/bukasebutadab

c

/c/cakapkacaMac

d

/d/duaadaabad

f

/f/fakirtafsirmaaf

g

/g/gunatigabeg

h

/h/harisahamtuah

j

/j/jalanmanjakolej

k

/k/kamipaksakatak

l

/l/lekasalaskesal

m

/m/makakamidiam

n

/n/namaanakdaun

p

/p/pakuapasiap

q

/q/quranwuqufburaq

r

/r/raihbaraputar

s

/s/samaaslilemas

t

/t/talimatarapat

v

/v/viraluniversiti-

w

/w/wanitahawa-

x

/x/xilofon--

y

/y/yangpayung-

z

/z/zamanlazatlafaz

Terdapat tiga konsonan yang hanya digunakan untuk perkataan pinjaman iaitu q, v, dan x. Tiada istilah asal bahasa Melayu yang menggunakan konsonan-konsonan ini.

Contoh:

KonsonanContoh kata

q

buraq, qadak, qadar, quran, wuquf

v

versi, vitamin, vokasional, revolusi, subversive, evolusi, viral

x

xenolit (jenis batu), xenomorf (jenis batu), xilofon (alat muzik), xilofaj (sejenis serangga), xerofit (jenis tumbuhan di kawasan kering)

Gugus Konsonan

Juga disebut konsonan gabung. Merupakan gabungan dua huruf konsonan yang melambangkan satu bunyi konsonan yang baru.

Contoh:

Gugus
Konsonan
Bunyidi depandi tengahdi belakang

gh

/ÄŸ/ghaibmaghribmubaligh

kh

/x/khususakhirtarikh

ng

/Å‹/ngiluanginpening

ny

/Å„/nyatahanya-

sy

/Å›/syaratisytiharQuraisy

Huruf Diftong

Huruf diftong ialah huruf gabungan dua huruf vokal berlainan bunyi yang menghasilkan bunyi yang ketiga. Tiga huruf diftong ialah au (vokal a + vokal u), ai (vokal a + vokal i), dan oi (vokal o + vokal i).

Contoh:

DiftongDepanTengahBelakang

ai

aisingghairah
hairan
haiwan
pandai
petai
tirai

au

aurat
auto
audit
saudara
tauladan
saujana
harimau
risau
pisau

oi

oidiumboikotamboi
sempoi
konvoi
* oidium = spora funggus yang selalu menyerang daun tanaman. Berbentuk seperti serbuk putih yang melekat pada daun-daun.

Suku Kata

  1. Suku kata ialah unit bunyi terkecil dalam kata (atau perkataan) yang mempunyai huruf vokal.
  2. Suku kata terbentuk dari gabungan huruf vokal (V) dengan huruf konsonan (K).
  3. Suku kata boleh terbentuk dari sekurang-kurangnya satu huruf vokal (V).
  4. Suku kata tidak boleh terbentuk dari gabungan huruf konsonan (K) semata-mata.
  5. Istilah penyukuan merujuk kepada proses pemenggalan (atau pembahagian) kata kepada unit-unit suku kata. Juga bermaksud pembahagian unit bunyi dalam perkataan.
  6. Perkataan dalam bahasa Melayu boleh terbentuk dari satu suku kata hingga enam suku kata (dan mungkin lebih).
  7. Contoh:

    PerkataanJumlah Suku KataPenyukuan
    Eh1Eh
    Saya2Sa / ya
    Ketawa3Ke / ta / wa
    Implikasi4Im / pli / ka / si
    Keselarasan5Ke / se / la / ra / san
    Kebarangkalian6Ke / ba / rang / ka / li / an
    Kebahagiaannya7Ke / ba / ha / gia / an / nya

    Satu perkataan dengan hanya satu suku kata (bunyi)

    Berikut ialah contoh satu kata (perkataan) dengan satu atau lebih huruf yang mempunyai satu bunyi atau satu suku kata sahaja:

    Kata TunggalJumlah Suku KataJumlah huruf
    1Ah12
    2Ku12
    3Wah13
    4Zoo13
    5Bang14
    5Long14
    5Bank14

Suku kata terbuka

Suku kata terbuka ialah suku kata yang berakhir dengan huruf vokal (V).

Suku kata tertutup

Suku kata tertutup ialah suku kata yang berakhir dengan huruf konsonan (K).

Pola Suku Kata

  1. Suku kata ialah bunyi perkataan yang terbentuk sama ada dari satu huruf vokal (V) atau gabungan huruf vokal (V) dan huruf konsonan (K).
  2. Gabungan huruf konsonan (K) tidak boleh membentuk suku kata.
  3. Dalam sistem ejaan Bahasa Melayu terdapat 11 pola suku kata iaitu 11 bentuk gabungan V (vokal) dan K (konsonan).
  4. Setiap pola suku kata mempunyai satu V (huruf vokal) atau gabungan beberapa V (uruf vokal) dengan K (huruf konsonan).
  5. Berikut ialah 11 pola suku kata dengan contoh perkataannya.

    PolaPola Suku KataContoh kata
    1Va / naka = V
    2VKam / bilam = VK
    3KVra / kitra = KV
    4KVKpin / tupin = KVK
    5KKVkri / tikkri = KKV
    6KKVKstan / dardstan = KKVN
    7VKKeks / porteks = VKK
    8KVKKbankbank = KVKK
    9KKVKKkom / plekspleks = KKVKK
    10KKKVstra / te / gistra = KKKV
    11KKKVKstruk / turstruk = KKKVK

Penanda Wacana

Dalam sistem ejaan bahasa Melayu ada 15 tanda baca yang telah digunakan dengan mantap iaitu tanda koma (,), tanda titik atau noktah (.), tanda pisah (-), tanda sempang (-), tanda elipsis (...), tanda titik bertindih (:), tanda koma bertitik (;), tanda soal (?), tanda seru (!), tanda kurung (( )), tanda kurung siku ([ ]), tanda petik (" "), tanda petik tunggal (' '), tanda garis miring (/) dan tanda penyingkat (').

1. Tanda titik atau noktah (.)

  • Diletakkan di hujung ayat bagi menandakan yang binaan sesuatu ayat telah selesai.
  • Menandakan kependekan bagi satu-satu perkataan. Contoh:
    • P.Ramlee (Putih Ramli)
    • Sdn. Bhd. (Sendirian Berhad)
  • Diletakkan pada akhir singkatan gelaran, pangkat atau sapaan hormat. Contoh:
    • Dr. (doktor)
    • En. (encik)
    • Pn. (puan)
    • Kol. (kolonel)
    • Hj. (haji)
    • Tg. (tengku)
    • Tn. (tuan)
    • Prof. (profesor)
  • Singkatan kata bagi ungkapan yang sudah sangat umum. Contoh:
    • b.p. (bagi pihak)
    • s.k. (salinan kepada)
    • u.p. (untuk perhatian)
    • dll. (dan lain-lain)
    • hlm. (halaman)
  • Diletakkan selepas nombor dalam senarai. Contoh:
    • 1. Almari
    • 2. Meja
    • 3. Kerusi
  • Sebagai tanda perpuluhan. Contoh:
    • 1.5
    • 3.4
    • 0.1

2. Tanda titik bertindih (:)

  • Digunakan dalam penulisan sebelum memperkenalkan atau menyenaraikan sesuatu atau untuk menambah keterangan-keterangan. Contoh:
    • Prinsip hidup saya jelas: tekun dan ikhlas.
    • Terdapat pelbagai jenis senjata: senapang, lembing, kerambit.
  • Memisahkan keterangan. Contoh:
    • Sebenarnya ada banyak contoh. Misalnya:
    • Politik kini: Prinsip dan Persoalan.
  • Digunakan dalam penulisan teks drama atau skrip drama. Contoh:
      Ajis:Siapa engkau?
      Ramlee:Akulah raja
      Ajis:Raja apa?
      Ramlee:Raja Gopal...
  • Digunakan dalam pelbagai jenis borang. Contoh:
      Nama: ________
      Alamat: ________
      Jantina: ________
  • Menunjukkan nisbah. Contoh: Nisbah 1:2.

3. Tanda koma (,)

  • Tanda pemisah dalam sesuatu binaan ayat.
  • Untuk mengasingkan kata yang berturut-turut dalam satu ayat yang sama. Contoh: Emak membeli ikan, gula, sayur, tepung dan kueh.
  • Diletakkan di belakang kata seru. Contoh: Amboi, marahnya dia!
  • Untuk membezakan makna atau mesej dalam sesuatu ayat. Contoh:
      AyatMaksud
      Bunuh jangan, bebaskan!Jangan bunuh orang itu. Bebaskan dia.
      Bunuh, jangan bebaskan!Matilah orang itu. Kesian..

4. Tanda koma bertitik (;)

  • Sebagai tanda memisahkan bahagian-bahagian ayat yang sejenis atau setara. Contoh:
      Hari dah nak malam; kamu belum habiskan kerja lagi.
  • Digunakan untuk memisahkan ayat yang setara dalam suatu ayat majmuk sebagai pengganti kata penghubung. Contoh:
      Kakak menyiapkan kertas kerjanya; emak bekerja di dapur; adik asyik menonton tv; ayah bersembang dengan jiran sebelah.

5. Tanda sempang (-)

Tanda sempang (-) ditulis rapat dengan perkataan sebelum dan selepasnya. Contoh penggunaan:
  • Menegaskan pemisahan suku kata. Contoh:
    Perkataan 'bagaimana' ada empat suku kata iaitu ba-gai-ma-na.
  • Memisahkan angka.
    Contoh: 03-40216900
  • Menggabungkan kata dasar yang dipendekkan.
    Contoh: Indo-Belanda.
  • Menunjukkan kata ganda.
    Contoh: batu-batu, keping-keping, gotong-royong.
  • Memisahkan perkataan dengan kata ganti nama ALlah.
    Contoh: hamba-Mu, rahmat-Nya.
  • Memisahkan kata sendi ke dengan angka.
    Contoh: Kelima atau ke-5.

6. Tanda pisah ( – )

Tanda pisah adalah dua kali lebih panjang dari tanda sempang. Berbeza dengan tanpa sempang yang dieja rapat dengan perkataan sebelum dan selepasnya, tanda pisah dieja secara terpisah. Antara contoh penggunaannya adalah:
  • Untuk memisahkan keterangan bagi suatu idea. Contoh: Terdapat pelbagai emosi dalam novelnya – sedih, marah, meluat.
  • Untuk menunjukkan aliran pemikiran penulis yang terganggu atau terhenti. Contoh: Dialah Mat Kilau – pejuang Melayu Pahang yang menentang penjajah British.
  • Untuk menggantikan perkataan ‘hingga’ atau ‘ke’. Contoh: Peristiwa yang berlaku antara tahun 1948 – 1960 (1948 hingga 1960). Perjalanan antara Kuala Lumpur – Johor (Kuala Lumpur ke Johor).

7. Tanda elipsis (…)

Tanda elipsis ialah tanda tiga titik (...). Antara kegunaan elipsis adalah untuk:
  • Menunjukkan pengguguran, pembuangan atau ditiadakan bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu ayat. Contoh: “Rezekinya datang tanpa diduga
  • Menunjukkan hentian sebentar dalam pengucapan (biasanya dalam cerpen atau novel) kerana pemikirannya belum selesai atau sengaja tidak mahu meneruskan keterangan. Keterangan telah 'digugurkan'. Contoh: “Lupakanlah aku, kerana aku

8. Tanda tanya atau tanda soal (?)

  • Dalam bahasa persuratan, tanda soal diletakkan dihujung sesuatu soalan. Tanda soal dieja rapat dengan perkataan sebelumnya. Contoh: Siapakah anda?
  • Menunjukkan ada fakta atau fakta-fakta yang diragui (tanda soal diletakkan dalam kurungan). Contoh: Menurut Tok Ketua Kampung, Mat Kilau dilahirkan pada tahun 1952(?).

9. Tanda seru (!)

Tanda seru (!) diletakkan di hujung kata atau ayat. Pada kebiasaanya tanda seru memberi gambaran emosi atau perasaan seperti perasaan marah (Cis! Bedebah!), suka (Aku gumbira!), memerli (Amboi!), terperanjat (Alamak!).

10. Tanda kurung ( )

  • Mengapit singkatan atau akronim. Contoh: Semalam kami pergi ke UM (Universiti Malaya).
  • Mengapit penjelasan tambahan. Contoh: Kakak menggunakan tetikus (mouse) baru pada komputer ayah.
  • Mengapit keterangan atau penjelasan sumber bahan rujukan. Contoh: Merujuk buku Tatabahasa Dewan (Nik Safiah Karim, 1994).
  • Mengapit nombor atau huruf yang menunjukkan bilangan. Contoh: (i), (ii), (c).

11. Tanda kurung siku [ ]

  • Mengapit tahun dalam tatacara sebutan kes diikuti dengan rujukan halaman. Contoh: Azimah lwn Nordin [1968] MLJ 123.
  • Mengapit keterangan dalam kalimat perjelas yang terdapat dalam tanda kurung. Contoh: Persamaan kedua proses tersebut (perbezaannya dikupas dalam Bab 9 [lihat halaman 31-42]) adalah dinyatakan di sini.
  • Bolehlah anggap tanda kurung siku ini ialah 'satu lagi tanda kurung dalam tanda kurung yang sedia ada'.

12. Tanda petik (“…”)

Mengapit cakap ajuk (perbualan). Mengapit judul rencana, tajuk sajak. Mengapit istilah ilmiah atau yg ada makna khusus. Contoh: Kami mengkaji tentang “anatomi” semalam.

13. Tanda petik tunggal (‘…’)

Mengapit perkataan yang sudah ada dalam tanda petik. Contoh: Amboi, sejak ada ‘orang baru’, kamu makin sombong.

14. Tanda garis miring (/)

  • Juga disebut 'palang'
  • Digunakan dalam nombor rujukan rasmi. Contoh:
    • DBP/174/12/4 K.5 (28)
  • Pengganti kata ‘dan’, ‘atau’, dan ‘per’. Contoh:
    • Tan Sri/Tun/Datuk (dalam surat rasmi)
    • Kelajuan 35km/j (kiometer per jam)
  • Menyatakan nilai pecahan dalam Matematik. Contoh: 1/4, 1/2, 3/4.

15. Tanda penyingkat (‘)

  • Menunjukkan ada bahagian yang hilang.
    Contoh:
    Malam ‘dah (sudah) tiba.
    Kejadian pada tahun ’98 (1998).

Ejaan Sendi Nama di dan ke

Sendi Nama 'di' dan 'ke'

  1. Bagaimanakah cara mengeja kata sendi nama 'di' dan 'ke'?

  2. Kata sendi nama ‘di’ dan ‘ke’ ditulis rapat atau jarak bergantung kepada fungsi kata.

  3. Dalam sistem ejaan bahasa Melayu, ‘di’ dan ‘ke’ mempunyai dua fungsi iaitu sama ada sebagai kata sendi atau sebagai imbuhan.

  4. Ejaan 'di' dan 'ke' dijarakkan

  5. Sekiranya 'di' dan 'ke' berfungsi sebagai kata sendi maka ejaannya dijarakkan dengan kata yang mengiringinya.

    Contoh: di sana
    di situ
    di bawah
    ke sana
    ke situ
    ke sini

    Ejaan 'di' dan 'ke' dirapatkan

  6. Sekiranya 'di' dan 'ke' berfungsi sebagai imbuhan maka ejaannya dirapatkan dengan kata yang mengiringinya.

  7. Contoh: disimpan
    diawasi
    dibelasah
    kesudahan
    kekehendak
    kekematian

Partikel

  1. Ada empat partikel dalam bahasa Melayu iaitu

    • lah
    • kah
    • tah
    • pun
  2. Semua partikel berada (ditulis) rapat dihujung kata.

  3. Semua partikel dieja rapat dengan perkataan sebelumnya.

  4. adalah
    tolonglah
    ampunilah
    apakah
    bilakah
    siapakah
    engkaukah
    bilatah
    siapatah
    apatah

  5. Ada 13 penggunaan partikel pun yang dieja rapat dengan perkataan sebelumnya.

    • adapun
    • andaipun
    • ataupun
    • bagaimanapun
    • biarpun
    • kalaupun
    • kendatipun
    • lagipun
    • mahupun
    • meskipun
    • sekalipun
    • sungguhpun
    • walaupun

Pengecualian ejaan partikel pun

Hanya partikel pun mempunyai pengecualian cara ejaan. Ada tiga situasi pengecualian di mana partikel pun dijarakkan (tidak dieja rapat) dari perkataan sebelumnya.

Partikel 'pun' dijarakkan dari kata dasar yang ada di sampingnya apabila 'pun' itu membawa makna ‘juga’, ‘lalu’ atau ‘terus’.

Sila lihat contoh di bawah:

  1. Kerana terlalu penat, dia pun tertidur.
    Kerana terlalu penat, dia terus tertidur.
    Kerana terlalu penat, dia lalu tertidur.

  2. Kalau dia makan, saya pun akan makan.
    Kalau dia makan, saya juga akan makan.

  3. Dia duduk tanpa berbuat apa-apa pun.
    Dia duduk tanpa berbuat apa-apa juga.

Kata Ganti Nama Singkat

Kata Ganti Nama Singkat

Bagaimanakah cara mengeja perkataan yang mempunyai kata ganti nama singkat?

Semua kata ganti nama singkat ditulis rapat dengan kata dasar yang mengekori atau mendahuluinya.

Contoh:

Kata ganti nama singkatKauKuMuNya
Contohkautuliskulihatbukumupipinya

Bagi nama Tuhan, kata ganti nama singkat dijarakkan dengan tanda sempang.

14 Oktober 2025

Pengenalan Morfologi

Morfologi adalah salah satu dari cabang ilmu bahasa. Ilmu moflogi mengkaji bentuk (morphos) kata, struktur kata, pembentukan kata dan golongan kata. Dalam morfologi, unit terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu ialah morfem. Para pelajar juga perlu mengetahui maksud istilah morfem dan kata. Ini kerana kedua-dua adalah berbeza dari segi fungsi dan konsep. (Wikipedia)

Morfem

  1. Morfem ialah unit nahu terkecil dalam sesuatu kata yang mempunyai makna atau fungsi tatabahasa.

  2. Morfem boleh terdiri daripada satu unit yang tidak boleh dipecahkan lagi kepada unit bermakna yang lebih kecil.

  3. Sesuatu kata boleh dibentuk daripada satu atau lebih morfem.
    Contoh:

    • Kata 'ajar' mempunyai satu morfem iaitu 'ajar'
    • Kata 'mengajar' mempunyai dua morfem, iaitu 'meng-' dan 'ajar'
  4. Morfem boleh dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu:

    • morfem bebas yang boleh berdiri sendiri dan mempunyai makna (contoh: guru, sekolah), dan

    • morfem terikat yang tidak mempunyai makna sendiri tetapi berfungsi mengubah makna perkataan apabila digabungkan (seperti imbuhan 'meng-', 'ber-', '-kan'

  5. Morfem terikat tidak mempunyai makna dan memerlukan morfem bebas untuk membentuk makna.

    Contoh morfem terikat:
    'ber' dalam perkataan 'berlari' ialah morfem terikat. Ini kerana kata 'ber' itu tidak mempunyai makna apa-apa dan hanya mempunyai makna apabila 'ber' bercantum dengan 'lari' untuk menjadi 'berlari'.

Proses Pembentukan Kata Bahasa Melayu

  1. Kata (dulu disebut perkataan) ialah unit bahasa yang mempunyai makna.

  2. Kata terdiri dari satu atau lebih morfem (unit makna terkecil dalam kata).

  3. Kata merupakan unit terkecil bahasa yang dapat berdiri sendiri.

  4. Mofem atau gabungan mofem membentuk satu kata (perkataan).

  5. Gabungan kata-kata akan membentuk frasa, klausa, dan seterusnya menjadi ayat.

Kata Tunggal

  1. Juga disebut kata dasar.

  2. Inilah bentuk asal sesuatu kata (atau perkataan).

  3. Kata tunggal tidak mempunyai imbuhan, tidak diulang-ulang (digandakan) dan tidak digabungkan (dimajmukkan).

  4. Contoh kata tunggal ialah makan

  5. Kata tunggal 'makan' boleh membentuk kata-kata lain dengan makna yang lain melalui proses imbuhan, gandaan dan gabungan (dimajmukkan).

Kata Tunggal menjadi Kata Terbitan

  1. Kata Tunggal yang menerima imbuhan akan menghasilkan Kata Terbitan.

  2. Contoh:
    Kata Tunggal makan + imbuhan -an akan menjadi makanan iaitu satu kata dengan makna yang berbeza.

Kata Tunggal menjadi Kata Ganda

  1. Kata Tunggal yang digandakan (diulang-ulang) akan menghasilkan Kata Ganda.

  2. Contoh:
    Kata Tunggal makan bila digandakan menjadi makan-makan yang mempunyai makna yang berbeza.

Kata Tunggal menjadi Kata Majmuk

  1. Kata Tunggal yang digabungkan dengan kata lain akan menghasilkan Kata Majmuk

  2. Contoh:
    Kata Tunggal makan digabungkan dengan Kata Tunggal angin menghasilkan kata majmuk makan angin yang mempunyai makna yang berbeza dari 'makan' dan 'angin'.

Bentuk Kata - Kata Tunggal

MORFOLOGI:
  1. Bentuk Kata
    • Kata Tunggal
    • Kata Terbitan
    • Kata Majmuk
    • Kata Ganda
  2. Golongan Kata

Kata Tunggal

    1. Kata tunggal ialah satu kata dasar atau kata akar yang tidak mengalami sebarang bentuk pengimbuhan, penggandaan atau pemajmukan.
    2. Apabila kata tunggal menerima imbuhan, atau digandakan, atau dimajmukkan, maka kata tunggal itu tidak lagi bersifat kata tunggal.
    3. Sebaliknya, kata tunggal itu akan bertukar menjadi sama ada kata terbitan, kata ganda, atau kata majmuk.
    4. Kata tunggal yang mengalami proses imbuhan akan menjadi kata terbitan.
    5. Kata tunggal yang digandakan akan menjadi kata ganda.
    6. Kata tunggal yang digabungkan dengan kata tunggal yang lain akan menjadi kata majmuk.
    7. Contoh kata tunggal ialah meja, kerusi, wanita, anda, buku, dan banyak lagi.
    8. Akronim yang merupakan singkatan kepada beberapa perkataan adalah juga dianggap sebagai satu kata tunggal.


    Akronim

    1. Akronim merupakan gabungan beberapa kata tunggal sama ada gabungan suku kata, gabungan huruf pangkal perkataan, atau gabungan kedua-duanya sekali.
    2. Contoh akronim ialah pawagam (panggung wayang gambar), kugiran (kumpulan gitar rancak), dan banyak lagi.
    3. Apabila beberapa perkataan ini digabungkan dan menjadi akronim, ia dianggap sebagai satu unit kata tunggal.
    4. Akronim ialah kependekan yang terbentuk dari gabungan huruf-huruf pertama atau suku kata beberapa perkataan, yang membentuk satu perkataan yang utuh dan mantap yang mempunyai makna tersendiri serta dapat berdiri sendiri.

    Ada tiga jenis akronim iaitu:

    1. Akronim gabungan huruf-huruf pangkal perkataan
    2. Akronim gabungan suku kata
    3. Akronim gabungan huruf pangkal dan suku kata

    Akronim gabungan huruf pangkal

    Akronim jenis ini menggabungkan huruf-huruf pangkal sesuatu perkataan. Sila lihat contoh di bawah:

    AkronimPerkataan penuh
    ABIMAngkatan Belia Islam Malaysia
    TNBTenaga Nasional Berhad
    JKRJabatan Kerja Raya
    ADUNAhli Dewan Undangan Negeri
    BSNBank Simpanan Nasional

    Seperti dalam contoh di atas, empat perkataan Ahli Dewan Undangan Negeri apabila digabuangkan menjadi akronim ADUN, tidak lagi dianggap empat perkataan. Sebaliknya telah menjadi satu perkataan kata tunggal.

    Akronim gabungan huruf pangkal

    Akronim jenis ini menggabungkan atau mencantumkan sebahagian suku kata dari perkataan-perkataan tertentu. Sila lihat contoh di bawah:

    AkronimPerkataan penuh
    cerpencerita pendek
    cerekacerita rekaan
    debungadebu bunga
    gimramagimnastik berirama
    hakishabis kikis
    tadikataman didikan kanak-kanak
    resdungresah hidung
    jenamajenis nama
    puratapukul rata
    halajuhad laju
    pawagampanggung wayang gambar
    jentolakjentera tolak
    jengkautjentera kaut
    kugirankumpulan gitar rancak

    Akronim gabungan huruf pangkal dan suku kata

    Akronim jenis ini menggabungkan huruf-huruf pangkal dan suku kata sesuatu perkataan. Sila lihat contoh di bawah:

    AkronimPerkataan penuh
    IntanInstitut Tadbiran Awam Negara
    MaraMajlis Amanah Rakyat
    TaskaTaman Asuhan Kanak-kanak
    JakimJabatan Kemajuan Islam Malaysia
    ProtonPerusahaan Otomobil Nasional

Bentuk Kata - Kata Terbitan

MORFOLOGI:
  1. Bentuk Kata
    • Kata Tunggal
    • Kata Terbitan
    • Kata Majmuk
    • Kata Ganda
  2. Golongan Kata

Kata Terbitan

    1. Kata Terbitan terbentuk apabila mana-mana kata dasar (kata tunggal) menerima imbuhan.
    2. Kata dasar +imbuhanmenjadiKata Terbitan

      Contoh:

      1cucukkata dasartiada imbuhan
      2cucukankata terbitanada imbuhan akhiran -an
      3dicucukkata terbitanada imbuhan awalan -di
      4mencucukikata terbitanada imbuhan apitan men-...-i
      5cerucukkata terbitanada imbuhan sisipan -er-

      Contoh lain:

      Sayamakan
      (kata dasar)
      nasi kerabu
      Nasi kerabudimakan
      (kata terbitan)
      oleh Kak Limah
      Nasi adalahmakanan
      (kata terbitan)
      kita semua
      Sila jagapemakanan
      (kata terbitan)
      supaya kita sentiasa sihat

    3. Semua jenis imbuhan dieja rapat dengan kata dasarnya.
    4. Ada empat jenis imbuhan iaitu:
      • Imbuhan awalan (imbuhan dipangkal kata dasar)
      • Imbuhan akhiran (imbuhan di hujung kata dasar)
      • Imbuhan sisipan (imbuhan di celah-celah kata dasar)
      • Imbuhan apitan (imbuhan di kiri dan kanan kata dasar)


    Kata Tunggal (kata dasar) + imbuhan awalan

    Kata dasarImbuhan AwalanKata terbitan
    rajabe-beraja
    takhtaber-bertakhta
    lawatme-melawat
    cacimen-mencaci
    berimem-memberi
    hantarmeng-menghantar
    tinmenge-mengetin
    tawandi-ditawan
    rakamte-terakam
    tiputer-Tipah tertipu
    nyanyipe-penyanyi
    cintapen-pencinta
    bohongpem-pembohong
    hiburpeng-penghibur
    catpenge-pengecat

    Nota:

    • Imbuhan be- digunakan untuk kata dasar yang bermula dengan huruf r sahaja.
      Contoh:
      • be- + raja menjadi beraja
      • be- + rasa menjadi berasa.
    • Imbuhan ber- pula digunakan untuk kata semua kata dasar yang tidak bermula dengan huruf r.
      Contoh:
      • ber- + tani menjadi bertani
      • ber- + irama menjadi berirama
      • ber- + mesra menjadi bermesra.
    • Imbuhan mem- adalah untuk kata dasar yang bermula dengan huruf b sahaja.
      Contoh:
      • mem- + bisu menjadi membisu
      • mem- + bodek menjadi membodek
    • Imbuhan menge- adalah untuk kata dasar yang mempunyai satu suku kata sahaja.
      Contoh:
      • menge- + cat (satu suku kata) menjadi mengecat
      • menge- + tin (satu suku kata) menjadi mengetin
      • menge- + bom (satu suku kata) menjadi mengebom
    • Imbuhan te- adalah untuk kata dasar yang bermula dengan huruf r sahaja.
      Contoh:
      • te- + rasa menjadi terasa
      • te- + rakam menjadi terakam
    • Imbuhan penge- adalah untuk kata dasar satu suku kata sahaja.
      Contoh:
      • penge- + bom (satu suku kata) menjadi pengebom.
      • penge- + cat (satu suku kata) menjadi pengecat.
      • penge- + tin (satu suku kata) menjadi pengetin.
    • Apabila imbuhan pem- bertemu dengan kata dasar yang bermula dengan huruf p, huruf p tersebut akan 'digugurkan'.
      Contoh:
      • pem- + paksa menjadi pemaksa dan bukan pempaksa.
      • pem- + putar menjadi pemutar dan bukan pemputar.
      • pem- + pukul menjadi pemukul dan bukan pempukul.

    Kata Tunggal (kata dasar) + imbuhan akhiran

    Kata dasarImbuhan akhiranKata terbitan
    makan-anmakanan
    ikut-iikuti
    beri-kanberikan
    seni-manseniman

    Kata Tunggal (kata dasar) + imbuhan apitan

    Kata dasarImbuhan apitanKata terbitan
    pandangber-...-anberpandangan
    bekalber-...-kanberbekalkan
    hebohdi-...-kandihebohkan
    kasardi-...-idikasari
    berimem-...-kanmemberikan

    Kata Tunggal (kata dasar) + imbuhan sisipan

    Kata dasarImbuhan sisipanKata terbitan
    tunjuk-el-telunjuk
    kopak-el-kelopak
    jajah-el-jelajah
    kuning-em-kemuning
    ketot-em-kemetot
    gentar-em-gementar
    gigi-er-gerigi
    sabut-er-serabut
    cucuk-er-cerucuk
    sambung-in-sinambung


    Tambahan

    Contoh lain imbuhan awalan:

    ImbuhanKata TerbitanCatatan
    anti-antikerajaananti = tidak suka
    auto-autobiografiauto = terhasil sendiri
    eka-ekamatraeka = satu
    juru-juruterbangjuru = pakar
    dwi-dwiminggudwi = dua
    maha-maharajamaha = sangat besar
    panca-pancainderapanca = lima
    poli-poligamipoli = banyak
    pra-prauniversitipra = sebelum
    pasca-pascasiswazahpasca = selepas
    pro-propembangkangpro = menyokong
    se-sesaatse = satu
    sub-subtopiksub = di bawah
    swa-swafotoswa = sendiri
    tuna-tunasusilatuna = tiada
    tata-tatacaratata = peraturan
    supra-supragolongansupra = melampau

Bentuk Kata - Kata Majmuk

MORFOLOGI:
  1. Bentuk Kata
    • Kata Tunggal
    • Kata Terbitan
    • Kata Majmuk
    • Kata Ganda
  2. Golongan Kata

Kata Majmuk

    • Kata majmuk terbentuk dengan menggabungkan dua kata dasar (maksimum dua perkataan).

    • Kata majumuk yang terbentuk itu mempunyai makna yang berbeza dengan makna kata dasar pertama dan kedua.

    • Kata majmuk dieja secara terpisah tanpa tanda sempang, namun dianggap satu unit.

    • Penggadaan kata majmuk melibatkan perkataan pertama sahaja (kecuali kata majmuk mantap yang digandakan seluruhnya.

    Kata Majmuk terbahagi tiga

    1. Kata majmuk bebas
    2. Kata majmuk istilah khusus
    3. Kata majmuk kiasan

    Kata Majmuk Bebas
    air hujanbandar rayajam tangan
    bom tangangambar rajahluar biasa
    merah mudacampur adukambil alih
    jalan rayadaya seraptunjuk ajar
    nasi minyakterima kasihtengah hari
    kuning langsatmeja tulisbiru laut

    Kata Majmuk Istilah Khusus
    duta besarketua menteripolis trafik
    perdana menteriprofesor madyaraja muda
    atur caracari galikertas kerja
    hak miliklut sinarkanta tangan

    Kata Majmuk Kiasan
    anak emasdurian runtuhkaki bangku
    buah tangancakar ayammakan angin
    kaki botolambil hatijatuh hati
    buah hatihati emasbusuk hati
    kaki ayamduit kopipilih kasih
    bulan madumanis muluttumbuk rusuk
    atas pagarbatu apibesar kepala
    kepala batukepala angingelap mata
    hidung tinggikera sumbangnaik darah
    telinga kualidalam tangancahaya mata

    Penggandaan kata majmuk

    Penggandaan kata majmuk hanya melibatkan unsur pertama sahaja.

    Contoh:

    Kata MajmukBetulSalah
    Alat tulisAlat-alat tulisAlat tulis-tulis
    Ketua MenteriKetua-ketua menteriKetua menteri-menteri
    budak jahatBudak-budak jahatBudak jahat-jahat

    Namun, untuk kata majmuk kiasan, penggandaannya melibatkan seluruh kata majmuk tersebut.

    Contoh:

    Kata MajmukBetulSalah
    Anak emasanak emas-anak emasanak-anak emas / anak emas-emas
    Buah hatibuah hati-buah hatibuah-buah hati / buah hati-hati

    Kata Majmuk Mantap

    Kata majmuk mantap ialah kata majmuk yang dieja rapat. Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga menyenaraikan 15 kata majmuk mantap iaitu:
    1. antarabangsa (antara + bangsa)
    2. beritahu (beri + tahu)
    3. bumiputera (bumi + putera)
    4. jawatankuasa (jawatan + kuasa)
    5. kakitangan (kaki + tangan)
    6. kerjasama (kerja + sama)
    7. olahraga (olah + raga)
    8. matahari (mata + hari)
    9. pesuruhjaya (pesuruh + jaya)
    10. setiausaha (setia + usaha)
    11. sukarela (suka + rela)
    12. suruhanjaya (suruhan +jaya)
    13. tandatangan (tanda + tangan)
    14. tanggungjawab (tanggung + jawab)
    15. warganegara (warga + negara)

    Walaupun tidak disenaraikan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, terdapat beberapa kata gabungan dua perkataan yang dieja rapat. Banyak contohnya namun antaranya adalah:

    • apabila (apa + bila)
    • bagaimana (bagai + mana)
    • daripada (dari + pada)
    • dukacita (duka + cita)
    • kadangkala (kadang + kala)
    • manakala (mana + kala)
    • sukacita (suka + cita)

Bentuk Kata - Kata Ganda

MORFOLOGI:
  1. Bentuk Kata
    • Kata Tunggal
    • Kata Terbitan
    • Kata Majmuk
    • Kata Ganda
  2. Golongan Kata

Kata Ganda

  • Kata ganda ialah perkataan yang diulang atau digandakan untuk menunjukkan unsur jamak iaitu bilangannya jadi banyak atau bertambah lebih dari satu.

  • Perkataan yang diulang atau digandakan tersebut boleh terdiri dari kata dasar atau kata terbitan.

  • Pengulangan atau penggandaan tersebut adalah sekali sahaja. Contoh: batu digandakan menjadi batu-batu dan bukan batu-batu-batu.

  • Kata ganda dipisahkan oleh tanda sempang, kecuali jenis kata ganda separa.

  • Tujuan penggandaan adalah untuk menghasilkan bentuk jamak (iaitu untuk menunjukkan bilangannya menjadi banyak atau bertambah lebih dari satu).

Kata ganda terbahagi empat iaitu

  1. kata ganda penuh
  2. kata ganda separa
  3. kata ganda berentak, dan
  4. kata ganda semu

1. Kata ganda penuh

Kata ganda penuh ialah kata dasar atau kata terbitan yang diulang atau diganda seluruhnya. Kata tersebut diulang tanpa perubahan ejaan.

Contoh:

Penggandaan Kata Dasar
Satu sahajaLebih dari satu
KerusiKerusi-kerusi
KeretaKereta-kereta
AdikAdik-adik
BiniBini-bini

Penggandaan Kata Terbitan
Satu sahajaLebih dari satu
PeladangPeladang-peladang
PenyanyiPenyanyi-penyanyi
LatihanLatihan-latihan
MakananMakanan-makanan

2. Kata ganda separa

Kata ganda yang tidak digandakan sepenuhnya tetapi digandakan sebahagian sahaja. Penggandaan separa akan menghilangkan tanda sempang. Jumlah huruf dan jumlah suku kata juga menjadi kurang dari kata ganda penuh.

Contoh:

Kata Ganda penuhKata Ganda separa
jari-jarijejari
kuda-kudakekuda
balang-balangbebalang
laki-lakilelaki
sungut-sungutsesungut
bawang-bawangbebawang
bola-bolabebola
buli-bulibebuli
cair-caircecair
daun-daundedaun
gendang-gendanggegendang
kacang-kacangkekacang
pohon-pohonpepohon

3. Kata ganda berentak

Kata ganda yang seolah-olah mempunyai rentak apabila digandakan.

Contoh:

hingar-bingarlauk-pauksayur-mayur
kuih-muihpapa-kedanaselok-belok
cerai-beraitungkus-lumushina-dina
asal-usulbukit-bukaugunung-ganang
mundar-mandirkayu-kayanmandi-manda
bolak-balikbatu-batanporak-peranda

4. Kata ganda semu

Makna 'semu' ialah 'bukan yang sebenarnya'. Kata ganda semu mengalami pengulangan kata namun tidak mengalami pertambahan jumlah. Kata ganda semu tidak menggambarkan jamak. Jumlahnya tetap satu, namun kelihatan seperti banyak (atau lebih dari satu) kerana penggandaan katanya.

Sila lihat contoh-contoh di bawah:

Kata Ganda SemuSatu atau banyak?
Kura-kuraSeekor (haiwan)
Layang-layangSekeping (permainan)
Ura-uraSatu (cadangan)
Agar-agarSepotong (makanan)
Pura-puraSatu sifat manusia
Rama-ramaSeekor (haiwan)
Jemput-jemputSeketul (kueh)
Semut-semutRasa kebas
Was-wasRasa hati (ragu-ragu)